ALHAMDULILLAH penulis ingin
membincangkan isu solat yang boleh mencegah kejahatan.
Tatkala Allah SWT menyebutkan orang-orang yang beriman, Allah
menyebutkan bahawa mereka adalah orang-orang yang mendirikan sembahyang. Dan
apabila Allah menyebutkan orang-orang munafik, maka Allah SWT akan menyebutkan
bahawa mereka adalah orang-orang yang melaksanakan sembahyang. Ini kerana orang
Islam itu terbahagi kepada dua golongan:
* Adalah mereka yang mendirikan sembahyang.
* Adalah mereka yang melaksanakan sembahyang.
Oleh yang demikian, orang yang hanya melaksanakan sembahyang
dan belum mendirikannya, sembahyangnya itu tidak akan dapat mencegahnya
daripada perbuatan yang keji dan mungkar.
Sementara orang yang mendirikan sembahyang, maka
sembahyangnya itu akan mencegahnya daripada perbuatan keji dan mungkar.
Allah SWT berfirman Yang bermaksud: Sesungguhnya sembahyang
itu mencegah daripada (perbuatan-perbuatan) keji dan mungkar. (al-Ankabut: 45)
Kita mungkin akan mengatakan: Bagaimana dengan orang yang
melaksanakan sembahyang, sementara dia aktif menghisap ganja, morfin dan
sejenisnya? Bagaimana juga dengan orang yang melakukan sembahyang, tetapi dia
tetap berzina dan mencuri? Maka jawapannya adalah kerana dia hanya melaksanakan
sembahyang, belum sampai tahap mendirikan sembahyang.
Adapun yang dimaksudkan dengan mendirikan sembahyang, kerana
sentiasa meresapi dan menghayati makna segala gerak-gerinya dalam sembahyang,
mulai daripada khusyuk, tawaduk, wuduk (kebersihan), keikhlasan, ketika rukuk,
ketika sujud dan ketika berzikir, begitu juga dengan rohnya (nyawanya) yang
sentiasa hadir dalam sembahyang tersebut.
Seperkara lagi, suka dinyatakan di sini, beberapa hikmah
solat seperti yang dinukilkan daripada Fiqh al-Manhaji. Antaranya:
* Solat menyedarkan manusia akan hakikat dirinya yang sebenar
sebagai hamba kepunyaan Allah SWT. Dia sentiasa menyedarinya setiap kali
berhadapan dengan masalah hidup dan perhubungan dengan orang lain. Solat yang dilakukan
akan mengingatkannya semula bahawa dia adalah hamba kepunyaan Allah SWT.
* Solat memantapkan keyakinan manusia bahawa tidak ada
pembantu dan pengurnia nikmat sebenar-benarnya selain Allah SWT meskipun
kelihatan di dunia banyak pihak dan sebab yang pada zahirnya membantu dan
memberi nikmat. Tetapi pada hakikatnya hanya Allah SWT yang memastikan semua
itu untuk kemudahan manusia.
Setiap kali manusia lupa dan hanyut kerana terpesona dengan
keduniaan yang zahir, solat akan mengingatkannya bahawa penyebab yang sebenar
hanyalah Allah. Dialah pembantu, pengurnia nikmat, yang menjadikan kesusahan,
pemberi manfaat, yang menghidupkan dan mematikan.
* Dengan solat manusia dapat mengambil kesempatan
menjadikannya sebagai waktu untuk bertaubat daripada dosa-dosa yang
dilakukannya. Ini kerana manusia memang terdedah kepada banyak maksiat pada
setiap waktu sama ada disedarinya ataupun tidak.
Maka solat yang dilakukan berulang-ulang dari semasa ke
semasa akan membersihkannya daripada maksiat dan kesalahan-kesalahan tersebut.
Rasulullah SAW telah menjelaskan perkara tersebut di dalam
hadis, daripada Jabir bin Abdullah RA katanya Nabi SAW bersabda yang bermaksud:
"Solat lima waktu umpama sungai yang airnya banyak mengalir di hadapan
pintu rumah seseorang di kalangan kamu ayang akan mandi di dalamnya lima kali
setiap hari". Kata al-Hassan: Dan apakah lagi kotorannya yang
tinggal?"
Maksud kotoran di sini ialah kotoran maknawi, iaitu
dosa-dosa. Maksud ini dijelaskan oleh riwayat Abu Hurairah RA:
"Demikianlah umpamanya solat lima waktu yang dengannya Allah menghapuskan
dosa-dosa."
* Solat merupakan santapan bagi akidah keimanan kepada Allah
yang berterusan dalam hati manusia. Segala pesona dunia dan bisikan syaitan
sememangnya menjadikan manusia lupa kepada akidah walaupun telah lama terterap
dalam hatinya.
Kealpaan yang berterusan kerana menurut gelora nafsu dan
rakan-rakan, akhirnya akan berubah menjadi ingkar. Ia umpama pokok yang
kehabisan air, lambat laun akan layu dan mati kering menjadi kayu api.
Tetapi, solat yang dilakukan
dengan tekun oleh seseorang Muslim akan menjadi santapan iman dan tidak mampu
dilemahkan atau dimusnahkan oleh segala pancaroba dunia.
Semogasolat kita benar-benar dapat mencegah kita daripada perbuatan jahat. Amin.
SUKA MENUNJUK-NUNJUK SIFAT ORANG MUNAFIK.Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Adakah kamu mahu aku memberitahu
kamu suatu perkara yang aku takuti ke atas kamu daripada dajal? Mereka
menjawab: Sudah tentu wahai Rasulullah! Baginda pun berkata: Syirik khafi iaitu
seorang lelaki bangun bersembahyang lalu dia memperelokkan sembahyangnya kerana
ada orang yang memerhatikannya.” (Riwayat Ibnu Majah)
Antara tanda ikhlas ialah apabila seseorang itu lebih suka
menyembunyikan kebaikannya sebaliknya tidak suka jika kejahatannya
disembunyikan. Dia melakukan kebaikan semata-mata kerana mahukan keredaan
daripada Allah SWT.
Sebaliknya, riak pula adalah mencari sesuatu untuk keuntungan
diri daripada amalan yang dilakukan di dunia sama ada untuk mendapatkan pujian,
sanjungan, hadiah dan sebagainya bahkan hal ini termasuk dalam perbuatan syirik
(syirik khafi).
Perbuatan riak (suka menunjuk-nunjuk), jika telah menjadi
satu tabiat, lambat laun akan menyebabkan orang yang melakukannya dipandang
hina oleh manusia lain. Oleh itu, ubat riak ialah dengan menyembunyikan amalan
yang ingin diserlahkan oleh nafsu.
Namun, amalan yang tidak dapat tidak mesti dizahirkan seperti
solat berjemaah dan yang seumpama dengannya tidak termasuk dalam perbuatan riak
melainkan memang mereka berjemaah kerana ingin menunjuk kepada orang dirinya
juga sembahyang.
Orang yang riak adalah termasuk orang yang munafik. Maka
tiadalah pahala bagi perbuatan baik yang dilakukannya itu di sisi Allah SWT
sekalipun ia terpuji di mata manusia.
Rasulullah SAW bersabda: “Apabila salah seorang dari kamu
mengerjakan amal-amal yang membuktikan keislamannya dengan sebaik-baiknya
(serta dengan ikhlas) maka tiap-tiap kebaikan yang dikerjakannya akan ditulis
baginya sepuluh kebajikan yang menyamainya hingga kepada tujuh ratus kali ganda
dan tiap-tiap satu kejahatan yang dilakukannya akan ditulis baginya (satu
kejahatan) yang menyamainya.” (Riwayat Bukhari)
0 comments:
Post a Comment